Showing posts with label bicara buku. Show all posts
Showing posts with label bicara buku. Show all posts

Tuesday, October 6, 2009

Sekitar kitab ‘ Tanaqudat al Albani wa al Wadihat “ ( 3 )


Kitab ‘Tanaqudat al Albani al Wadihat, jilid 3 kali ini mengambil ruang 355 halaman. Sayyid Hasan memulakan jilid ini dengan syair yang mengandungi 16 abyat. Kemudian Sayyid menambah dengan sanad hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a.
Penulisan jilid yang ketiga ini, ialah penulisan yang khusus membahaskan kontradiksi hadis yang terdapat dalam kitab ‘ Sifat Solat al Nabi ‘ yang dikarang oleh Syeikh Albani. Banyak yang diperbahaskan dalam masalah solat. Bermula dari takbir dan diakhiri dengan salam.
Kitab ini diakhiri dengan nasihat kepada Syeikh Albani dan penutup. Selepas itu Sayyid Hasan memberi ingatan penting kepada pembaca, antaranya :
1. Merujuk hadis yang kontradiksi kepada terbitan yang terdapat dalam glosari rujukan.
2. Kerana ada yang mengubah nombor-nombor dalam rujukan.

Sekitar kitab ‘ Tanaqudat al Albani wa al Wadihat “ ( 2 )


Dalam jilid ke 2 ini, perbahasan mengenai kontradiksi Syeikh Albani sebanyak 332 muka surat. Dipermulaan jilid kedua ini Sayyid Hasan memulakan dengan banyak peringatan. Peringatan tersebut akan kita bincang diakhir ringkasan ini.
Seawal halaman 19, Sayyid Hasan sudah membincangkan kontradiksi Syeikh al Albani dalam pelbagai tajuk. Bermula dengan tajuk ‘perbincangan beberapa hadis yang didhaifkan oleh Syeikh Albani yang sebenarnya adalah sahih, yang mana disahihkan yang sebenarnya adalah dhaif,untuk memenangkan pendapatnya ‘ sehinggalah ke halaman 326 pada tajuk ‘ Albani mensahihkan beberapa haids atau sanad-sanad yang lemah kerana tiada memahami dengannya dan dengan rijal sanad-sanadnya’.
Kesemua hadis yang diperbahaskan mengenai kontradiksi Syeikh Albani ialah sebanyak 652 buah hadis. Kemudian Sayyid Hasan kembali memberi nasihat dan harapannya kepada Syeikh Albani. Kitab ini diakhiri dengan penutup yang menceritakan tentang seorang murid Syeikh albani yang taasub dengan syeikhnya.
Peringatan yang diberi oleh Sayyid Hasan al Saqqaf ialah :
1. Halaman 8 : Sesungguhnya aku tidak menulis kitab ini, dan aku tidak zahirkan kitab “ Tanaqudat al Wadihat “ untuk bermusuh.
Sayyid Hasan tidak menulis kitab ini untuk mencari musuh, tetapi untuk memberi penerangan secara adil selepas daripada penelitian yang mendalam. Sayyid Hasan sendiri mengakui, bukanlah dia menulis menunjukkan dia tidak ada salah langsung, tidak juga beliau ingin dianggap sebagai muhaddis atau apa sahaja. Bahkan penulisan beliau adalah untuk mereka yang mahir dan insaf, supaya perbahasan ini dipanjangkan supaya ilmu ini tidak ditahrif atau diselewengkan oleh mana-mana pihak.
2. Halaman 11 : Sayyid Hasan menyatakan, peringatan tentang kontradiksi yang dibuat oleh Syeikh Albani, sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang yang dikenali sebagai pakar. Ini dibuktikan dalam jilid yang pertama, dimana 35 % hadis kontradiksi itu adalah takhrij yang diambil daripada kitab ‘Misyhkat “.
3. Halaman 15 : Tidak harus sibuk dengan mensahih atau mentad’if daripada ilmu hadis melainkan sesiapa yang membaca ilmu feqh daripada ahlinya.
Sayyid Hasan memberi peringatan supaya mempelajari sesuatu janganlah hanya dalam sesuatu bidang. Malah, hendaklah kita mengusasai keseluruhan ilmu, barulah kita memahami dengan lebih jelas, sumber dan hujjah yang digunapakai oleh seseorang untuk dijadikan amalan.

Sekitar kitab “ Tanaqudat al Albani wal wadihat “


Kitab ini telah ditulis oleh Tuan Guru kami Sayyidi Hasan Ali al Saqqaf. Telah diterbitkan di Amman, Jordan oleh Dar Imam al Nawawie pada tahun 1997. Tujuan kitab ini ditulis ialah untuk memperjelaskan kontradiksi yang telah dibuat oleh Syeikh al Albani dalam penulisan ilmiahnya.
Kitab ini terdapat dalam 3 jilid. Jilid 1 mempunyai 206 halaman. Terkandung pelbagai hadis yang diperbahaskan. Di antara perkara diperbahaskan dipermulaan kitab ialah perkara yang didhaifkan pada hadis-hadis Bukharie dan hadis-hadis Muslim. Syaikh menaqalkan 8 hadis yang Syeikh albani dhaifkan hadis-hadis Bukharie dan Muslim.
Kemudian Syeikh Hasan al Saqqaf kembali membahaskan pertembungan dimana syeikh albani mensahih hadis dan kemudian menghasankannya di tempat lain. Kemudian diikuti dengan pelbagai kesalahan syeikh Albani antaranya ialah menyalahkan ulamak-ulamak terdahulu, mengtahrif perkataan ulamak, kelemahan beliau dalam bahasa arab dan lain-lain lagi.
Sayyid Hasan juga menjelaskan mengenai kontradiksi Syeikh Albani yang mana beliau mensahihkan hadis dan menghukum hadis tersebut dengan mungkar jiddan di tempat yang lain. Kemudian Sayyid Hasan mendetailkan kontradiksi tersebut dengan lebih jelas apabila beliau mendatangkan 250 hadis di bawah tajuk al Albani rad ala al Albani.
Selepas perbincangan yang panjang dalam membahas kontradiksi, Syeikh Hasan telah mendatangkan contoh kesalahan yang besar yang dilakukan oleh Syeikh al Albani dalam kesenian ilmu hadis, sebanyak 15 hadis.
Sayyid Hasan membentangkan pula hujah yang mana Syeikh Albani telah banyak tersilap dalam ilmu jarah ta’dil. Sayyid Hasan memberi 10 nama perawi yang Syeikh Albani telah tersilap mengenai kedudukan mereka.
Di akhir kitab ini, telah menunjukkan kejelasan tujuan kitab ini di tulis, apabila Sayyid Hasan telah pun memberi nasihatnya secara baik dan tidak kasar kepada Albani. Kemudian Sayyid Hasan telah memberi harapan agar dapat membetulkan segala kontradiksi ,apa yang ditulis Syeikh Albani. Kemudian kitab ini diakhiri dengan penutup.
Daripada pembacaan saya, saya dapati buku ini sarat dengan pembentangan ilmiah yang mudah dan tidak membelitkan. Bahasanya pun baik, tidak kasar. Saya sendiri tidak faham, bagaimana golongan yang membela Syeikh Albani telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan pelik. Mungkin kerana merasai yang Tuan Guru mereka tidak akan salah, maka mereka terlalu beremosi.
Saya sendiri, bila membaca buku –buku mereka yang membela Syeikh Albani , tidaklah beremosi seperti mana mereka membaca buku Sayyid Hasan. Hanya Allah yang tahu di dalam hati dan jiwa masing-masing. Maka, kita semua boleh menilainya sendiri melalui pembacaan kita sendiri.
Kalau pun Sayyid Hasan memang tersalah, tetapi adalah tidak wajar untuk mengguna pakai perkataan yang akan menguris perasaan orang lain. Sayyid Hasan masih dalam lingkungan manusia. Ia mampu melakukan kesilapan. Apabila kita membaca sebuah kitab, demi mencari kesilapan dan bukannya kebenaran, dan tujuan utama untuk kritikan sahaja, nescaya kita tidak akan menemui kebenaran.